Siri 7: Coretan Daripada Hati Yang Luka

Aku duduk di hadapan meja kecil berwarna coklat. Lampu meja menyala malap, seolah-olah faham bahawa hatiku sedang dilanda kesedihan.

Jari-jemariku terketar-ketar di atas papan kekunci. Setiap huruf yang ditaip bukan sekadar perkataan, tetapi air mata yang cuba aku sembunyikan.

Memang benar kata ibu bahawa setiap penulisan aku nampak hidup apabila aku bercerita tentang kisah benar yang berlaku dalam kehidupanku.

“Kenapa aku masih menulis tentang dia?” bisik hatiku sendiri.
Aku berhenti menaip. Nafasku terasa sesak. Wajah insan yang aku sayangi itu kembali menjelma dalam ingatan.

Senyumannya, nasihatnya, cara dia memanggil namaku dengan penuh kasih masih tergambar.
Tipulah jika aku tidak sayang akan dirinya meskipun sikapnya yang sudah berubah.

Hanya Allah yang mengetahui betapa setiap hari aku berperang dengan perasaan diri sendiri.
Ada kalanya aku menangis kerana merindui kisah lalu bersamanya.

Namun aku berusaha memujuk diri bahawa dia telah pergi meninggalkan aku untuk menikmati dunia baharu yang terserlah indah.
Pemergiannya dalam keadaan tidak aku restui. Sungguh meruntun hati.

Walaupun pemergiannya menjadi belenggu baharu yang merampas ketenteramanku, namun aku tidak pernah membenci dirinya. Aku menyedari bahawa
kehilangannya dengan tiba-tiba meninggalkan ruang kosong yang perlu aku gantikan dengan sesuatu.

“Ya Allah, segala perpisahan antara kami adalah ketentuan-Mu. Maafkanlah dia Ya Allah. Lembutkanlah hatinya untuk menerima aku kembali.” aku berbisik sendiri.

Air mata jatuh satu demi satu. Aku masih lagi mengingatinya.
“Aku rindu…” aku bersuara perlahan, seolah-olah dia masih mampu mendengar suaraku menyebut namanya.

Jari-jemariku kembali bergerak. Aku menulis tentang seorang watak gadis yang kehilangan.
Watak itu menangis sepertimana aku yang menangis. Dia terdiam sebentar. Dia cuba mengingati apa yang sudah terjadi.

Tanpa disedari kesedihanku yang meresap dalam jiwa semakin bertambah. Namun dalam masa yang sama, perasaan reda mula menyelinap dalam hati bahawa setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmahnya.

Tiba-tiba aku berhenti sebentar. Aku mula berfikir.
“Kenapa cerita ini terasa terlalu hidup?” aku bertanya kepada diriku sendiri.

Aku membaca berulang kali bahagian pengembangan ayat yang baharu ditulis. Setiap ayat membawa pengertian yang mendalam.

Aku merasakan pembaca seolah-olah berada di dalam hatiku.
Mereka dapat melihat dunia daripada mataku dan merasakan luka yang sama.

Yang paling jelas, penulisan aku pada kali ini merupakan coretan daripada hati yang luka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top