Siri 2: Buku Skrap Simbol Perpisahan 

Beberapa hari berlalu, Saira cuba menghubungiku melalui mesej. Hati aku tertanya-tanya, apakah sebab dia hendak berjumpa dengan aku? 

Aku cuba bertanya kepada Saira.Namun Saira tidak membalas mesejku. Aku cuba memujuk hati dan memahami, namun sakit itu tetap ada. 

Selama ini, aku menyangka bahawa persahabatan lama boleh dikekalkan dengan hati yang ikhlas, tetapi sangkaanku meleset sama sekali.

Petang itu, aku berjumpa Saira di sebuah taman di tepi tasik. Angin sepoi-sepoi bahasa menampar wajahku.

Aku tersentak apabila terdengar suara yang aku kenali dari jauh. Manja!  Aku di sini.

Saira berdiri di tepi tasik. Kedua-dua matanya menatap mataku seperti ada sesuatu yang hendak disampaikan. Aku bergegas menghampirinya perlahan dan cuba menenangkan hati.

“Saira… aku gembira betul bila kau beritahu nak jumpa.” suaraku terdengar lembut, tetapi ada sedikit kerisauan yang cuba aku selindungi.

“Manja, aku pulangkan buku skrap ini kepada kau. Aku tidak mahu simpan lagi. Aku tak kisah apa kau nak cakap!”

“Kenapa Saira? Buku skrap ini ada memori kita berdua. Kenapa kau serahkan kepadaku?”

 “Maafkan aku, Manja. Anggaplah pemulangan buku skrap ini sebagai simbol perpisahan kita.”

Aku begitu terkejut dengan kata-kata Saira. Aku tidak menyangka Saira sanggup mengatakan perpisahan atas persahabatan kami yang terjalin sekian lama.

Meskipun terkejut, aku tetap menyambut buku skrap dari tangan Saira dengan tangan yang terketar-ketar. Air mata bercucuran laju tanpa aku sedari. Betapa sedihnya aku menerima buku skrap sebagai simbol perpisahan kami.

“Saira, aku tidak tahu nak cakap apa lagi. Aku tidak boleh memaksa kau mempertahankan persahabatan kita.

Aku menarik nafas. “Saira, aku tidak menyangka ini keputusan kau yang begitu berat untuk aku terima.

Saira memalingkan muka, matanya menatap jauh. “Apa yang nak dibicarakan lagi? Kehidupan kita sudah jauh berbeza, Manja.”

Aku cuba menahan sebak. “Aku tahu keadaan kita berbeza tetapi itu tak bermakna kita hilang persahabatan. Aku tak nak kehilangan kau, Saira.”

Saira mendiamkan diri. Matanya menatap air di tasik seolah-olah memikirkan kata-kataku. Akhirnya, dia menghela nafas panjang dan bersuara.

“Manja… aku takut kalau aku terlalu rapat, aku akan rasa terikat dengan dunia yang lama. Aku baru belajar untuk berdikari dan memulakan penghidupan baharu. Aku tidak mahu terbeban dengan masa lalu.”

Aku tersenyum pahit dan menahan perasaan  kecewa. “Aku faham.  Aku tetap akan menghargaimu sebagai seorang sahabat baik yang pernah singgah dalam hidupku, Saira.

Sahabat itu saling mendoakan, walaupun jauh atau dekat.”

Saira menunduk, matanya lembut sedikit. “Kadang-kadang aku teringat juga kenangan lama, tetapi aku perlu jujur dan tidak boleh menipu diriku sendiri.”

Aku menggapai tangan Saira, walaupun dia tidak benar-benar menyambut tanganku.

 “Allah mengajar kita sabar demi  persahabatan, Saira. Aku sabar menanti kau kembali dan aku terus memujuk hatiku untuk menerima perubahan.”

Saira menatap wajah aku begitu lama. Ada sesuatu yang hendak disampaikan daripada bebola matanya. Adakah timbul penyesalan? kerisauan? Atau harapan yang tersembunyi? Aku tidak pasti.

Hari itu kami tidak berbual panjang, tetapi hati aku mula melakar kekecewaan selepas pemulangan buku skrap sebagai simbol perpisahan kami.

Memang persahabatan kami ibarat retak menanti belah. Kadang-kadang persahabatan diuji bukannya untuk memisahkan, tetapi untuk menjadikan kita lebih kuat.

Aku sedar bahawa hubungan aku dengan Saira telah memberi pengajaran kepadaku tentang nilai kehidupan. Aku belajar tentang keikhlasan dan melepaskan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top