Aku masih tidak dapat melupakan Saira. Saira satu-satunya sahabat yang pernah singgah dalam kehidupanku sejak di bangku sekolah lagi.
Sebelum ini, kami menjalani kehidupan remaja dengan saling berkongsi rasa bahagia dan gembira. Namun, kini keadaan mula berubah.
Entah mengapa tiba-tiba aku rasa ingin menghubungi Saira, namun hatiku menolak supaya tidak menghubunginya buat sementara waktu.
Terasa ingin memberitahu Saira bahawa aku akan berusaha memenuhi permintaannya meskipun begitu berat untuk melakukannya.
Sebenarnya, aku berasa malu dengan jurang yang terlalu luas di antara kami. Saira yang dulu seorang mudah mesra kini berubah. Dia menjadi wanita moden yang lebih hebat, seolah-olah aku tidak lagi sesuai berada di sampingnya.
“Manja…” suara ibu memecahkan lamunanku. Aku menoleh. Wajahnya lembut dan penuh kasih.
“Ibu, Manja rasa perlu mempertimbangkan kemahuan Saira. Dia sudah berubah, Manja takut nanti dia rasa malu dan ketinggalan apabila bersahabat dengan Manja.
Aku menghela nafas panjang. Mataku berkaca ketika menatap wajah ibu. Ibu lantas mengukir senyuman. Perlahan-lahan
tangannya memegang bahuku.
“Sayang, jangan membandingkan diri kamu dengan orang lain. Yang penting, kamu terus melangkah.
Jangan sekali-kali membiarkan perasaan rendah diri mengekang langkahmu. Ingat, setiap insan ada kelebihan dan keistimewaannya.”
Aku mengangguk perlahan, hati aku mulai tersentuh. Kata-kata ibu bagaikan cahaya kecil yang memberikan sinar bagi menembusi kegelapan dalam diri.
“Kalau Manja bersedih sebab Saira semakin jauh itu adalah wajar. Tetapi gunakan perasaan itu untuk meningkatkan semangat, bukan melemahkan semangat,” pesan ibu dengan penuh keyakinan.
Aku menarik nafas kemudian menghembus secara perlahan-lahan. Memang benar, aku tidak boleh membiarkan perasaan ragu-ragu menguasai diri.
Aku mahu berubah juga, bukannya untuk menyaingi Saira, tetapi untuk menjadi orang yang berjaya dan memiliki harga diri.
Sejak hari itu, aku mula mendapat semangat untuk mengubah diri. Meskipun aku gadis biasa yang tidak memiliki ijazah, tapi aku yakin bahawa peluang untuk menjadi orang yang berilmu sentiasa terbuka.
Tidak semestinya aku tidak boleh berjaya tanpa kehadiran Saira. Aku cuma perlu menjadi diriku yang percaya pada kebolehan diri.
“Jika engkau jatuh, bangunlah. Jika engkau takut, hadapilah. Dunia ini memberi peluang kepada mereka yang berani untuk bermula.” Aku membisik pada diriku sendiri sambil menatap langit senja yang membara dengan warna keemasan.
Aku percaya bahawa semangat yang ibu berikan itu bukan sekadar kata-kata kosong, tetapi adalah kunci untuk membuka lembaran baharu dalam hidup untuk menjadi orang yang berjaya.
Aku harus berani untuk berubah. Keberanian ini aku mulakan dengan menulis dan membina jati diri tanpa perlu membandingkan diriku dengan orang lain.
Aku tersenyum, hatiku semakin tenang. Walaupun Saira jauh daripada hidupku, aku kini lebih dekat dengan impianku sendiri.
Aku tetap yakin bahawa pada suatu hari nanti, persahabatan kami mungkin akan terjalin kembali, bukan kerana persamaan taraf tetapi kerana saling menghargai perubahan masing-masing.