Siri 4: Perlahan-lahan Belajar Menghargai Diri Sendiri 

Aku larut dalam khayalan. Tanpa aku sedari buku skrap yang dipulangkan sudah berada di tanganku.

Sebagai sahabat baik Saira, sudah tentu aku sedih dengan pemulangan buku skrap ini yang membawa simbol perpisahan kami.

Aku termenung lama memerhatikan gambar kami pada buku skrap yang menyimpan kenangan indah semasa di alam persekolahan.

Jari-jariku berasa gementar apabila menyentuh gambar kami berdua yang terpamer di buku skrap itu.

Kenangan lama bersama Saira mula terbayang dalam ingatan. Kemesraan kami dahulu begitu jujur.  Kami duduk rapat dan bahu bertemu bahu. 

Kami merasakan seakan-akan dunia ini terlalu kecil untuk memisahkan kami.

Namun hari ini, gambar itu terasa asing.

Air mata bertakung tanpa dipinta. Bukan kerana gambar itu salah, tetapi kerana hati Saira yang sudah berubah. 

Sahabat yang dulu memahami keadaanku, kini seakan tidak lagi mengenali namaku. Kata-katanya terlihat angkuh dengan sikapnya yang dingin. 

Aku tertanya-tanya, di manakah silapku? Atau memang manusia berubah apabila dunia mula memuji mereka?

Aku belajar satu perkara bahawa tidak semua kenangan yang bermula dengan indah sampai ke penghujung dengan indah. 

Ada sahabat yang Allah hadirkan hanya untuk satu musim, bukan selamanya. 

Aku percaya dengan pemergian Saira dalam hidupku mempunyai hikmah yang tersembunyi.

Sememangnya, tiada yang kekal di dunia ini. Saira dipinjamkan kepadaku juga tidak kekal dan bersifat sementara. 

Dari perpisahan ini, aku belajar tentang  keikhlasan untuk melepaskan sesuatu yang kita sayang.

Aku jugak belajar tentang pentingnya menghargai diri sendiri. 

Penghargaan menghargai diri penting kerana kita tidak tahu rahsia tersembunyi di sebalik perpisahan.

Aku mengangkat tangan dan berdoa dengan linangan air mata.

“Ya Allah, jika dia bukan lagi baik untuk hatiku, relakan hatiku untuk melepaskan. Dan jika perpisahan ini adalah ujian, kuatkanlah aku menghadapinya.”

Sedih ini masih terasa .Tetapi aku percaya, Allah tidak pernah mengambil sesuatu tanpa menggantikannya dengan yang lebih baik. 

Aku belajar memujuk diri sendiri, merawat luka yang tidak kelihatan, dan melangkah perlahan dengan iman.

Sesungguhnya, hati manusia milik Tuhan. Oleh sebab itu, tidak perlu aku terus bersedih. Aku yakin bahawa Tuhan Maha Mengetahui mengapa Saira tidak lagi seperti dulu.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top