Siri 5: Langkah Pertama Dengan Sebuah Pena

Setelah berhari-hari aku melayan kesedihan, ibu hadir mengingatkan aku.

Ibu berpesan kepadaku bahawa perpisahan yang bermakna mampu mengubah kita menjadi orang yang lebih baik.

Ibu menyuruh aku bangkit daripada kesedihan untuk menggapai kejayaan.

“Manja, sudah tiba masanya kamu menghadiri bengkel penulisan untuk merealisasikan impian kamu.”

“Manja belum bersedia ibu. Manja takut.”

“Tiada apa-apa yang kamu perlu takut. Ibu yakin kamu boleh.”

Aku tergamam. Aku baru sedar bahawa selama ini  ibu mengetahui bahawa aku memang suka menulis. 

Ibu mencadangkan aku belajar menulis melalui bengkel penulisan untuk menggilap potensi diri.

Aku sungguh terharu dengan cadangan ibu.

Akhirnya, aku menyatakan persetujuan untuk menghadiri bengkel penulisan bagi menggilap bakat yang sudah lama terpendam.

Bermulah hari yang aku nantikan.

Aku menapak keluar dari rumah dengan hati yang berdebar-debar. Dunia nyata menunggu di luar, penuh cabaran dan peluang. 

Semalam, kata-kata ibu masih terngiang-ngiang di telingaku.

“Bangkitlah, Manja. Jangan takut untuk bermula.”

Aku belajar menulis cerpen berdasarkan kisah benar yang terjadi dalam hidupku.

Sungguh, pertama kali hadir bengkel, perasaan cemas mula menghantui diri.  

“Apa orang akan fikir tentang aku, gadis kampung yang sederhana ini?” getus hatiku.

Namun begitu, aku menarik nafas dalam-dalam dan cuba menenangkan diri.

“Assalamualaikum,” sapaku kepada penceramah bengkel penulisan, Puan Aliya yang berpenampilan menarik serta berkeyakinan tinggi.

“Waalaikumussalam. Selamat menghadiri bengkel penulisan. Jangan risau, semua  peserta di sini mempunyai matlamat yang sama.” kata penceramah dengan senyuman mesra.

Aku tersenyum mendengar kata-kata penceramah bengkel. Perasaan cemas mula berkurangan. Kata-kata beliau seperti menyalakan percikan semangat untuk aku merealisasikan impian menjadi seorang penulis.

Sepanjang menghadiri bengkel penulisan, aku belajar tentang penggunaan tatabahasa yang betul dalam penulisan.

Selain itu, aku juga diajar tentang teknik mengembangkan cerita dan cara-cara menyusun idea untuk memantapkan cerita.

Penceramah mengingatkan bahawa suatu perkara yang paling penting  yang perlu ada dalam diri penulis ialah percaya pada kemampuan diri sendiri. 

Aku memerhatikan seorang peserta bengkel yang duduk di sebelahku yang begitu mantap penulisannya sehingga mendapat pujian daripada penceramah.

Meskipun ada peserta lain yang lebih pandai dan hebat, namun ibu  selalu berkata, “Jangan membandingkan dirimu dengan orang lain. Fokus pada usaha, pasti akan nampak hasilnya.”

Aku cuba fokus menulis cerita yang dekat dengan hidupku. Setiap patah perkataan yang aku tulis mempunyai makna, bukan sekadar penulisan. Sedikit demi sedikit aku mula percaya dengan diri sendiri. 

Walaupun pencapaianku  agak sederhana, aku berpuas hati kerana ini adalah hasil usaha dan keberanian aku untuk bermula sebagai seorang penulis.

Selepas tamat bengkel, aku berjumpa dengan Puan Aliya.

Aku menyerahkan sebuah cerpen pendek untuk dibaca olehnya. Beliau membaca perenggan demi perenggan cerita yang aku tulis.

“Manja,  tulisan awak ada aura tersendiri. Teruskan menulis. Jangan takut untuk terus berkongsi,” katanya.

Aku tersenyum bangga. Hatiku mula berbunga-bunga. Kata-kata Puan Aliya membuatkan aku sedar bahawa aku memiliki  kebolehan menulis terutamanya kisah inspirasi.

Aku juga mampu mencipta  kejayaan dengan caraku sendiri. Ibu sering mengatakan bahawa aku berkebolehan menulis dan tulisanku mampu memberikan inspirasi kepada orang lain. 

Aku tidak akan mensia-siakan peluang keemasan untuk menulis kisah inspirasi.

Malam itu, aku mula menaip kisahku dalam komputer riba yang dibelikan oleh ibu.

Berani bermula ialah langkah pertama yang aku lakukan untuk mengubah kehidupan. Aku yakin bahawa tiada siapa yang boleh mengubah hidupku kecuali diri sendiri.

Aku tahu, walaupun jalan  kehidupan sebagai penulis ini penuh dengan liku-liku yang mencabar,  namun ketelusan aku melangkah mencari ilmu sungguh mengubah cara kehidupanku. 

Keberanian yang aku praktikkan untuk menjadi seorang penulis adalah kunci untuk aku terus mencapai impian. 

Aku bukan lagi gadis yang takut untuk bermula. Sebaliknya, aku ialah seorang gadis yang berani melangkah untuk mencapai kejayaan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top