Siri 1: Hati Yang Tidak Lagi Sama

Selepas bertahun-tahun membawa haluan masing-masing, pertemuan antara aku dan Saira tidak seindah yang aku bayangkan. Jika dulu, dialah sahabat yang sentiasa memeluk bahu aku setiap kali aku resah. Namun, kini dia berdiri sedikit jauh tanpa aku duga.

Saira baru sahaja tamat melanjutkan pelajaran di sebuah universiti dengan keputusan cemerlang. Dia mendapat pekerjaan yang baik di bandar. Penampilannya jauh lebih moden, bahasanya lebih bersemangat, dan nada suaranya agak lebih tinggi daripada dulu. Aku merasakan ada sesuatu yang berbeza pada dirinya yang membuatkan aku berasa rendah diri.

Sebaliknya, aku cuma lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia dan bekerja di kampung. Rezeki aku tidak sehebat Saira, tetapi hati aku tetap reda. Namun, apabila melihat sikapnya yang semakin berubah, aku mula tertanya-tanya, adakah persahabatan kami sudah tidak bernilai seperti dulu?

Pada suatu petang, kami bertemu di sebuah warung kecil. Aku berharap pertemuan itu boleh mengembalikan kemesraan lama, tetapi yang hadir hanyalah rasa janggal.

“Kau kerja apa sekarang,?” Saira bertanya kepadaku. Ayatnya begitu formal seolah-olah baru mengenaliku.

Aku tersentak sedikit dengan kata-kata Saira. Namun begitu, aku cuba berlagak tenang.
“Aku kerja membantu ibu membuat kuih sementara ini.”
Saira mengangguk pendek. “Oh, kau kerja kampung, ya?”

Nada sindiran itu seperti duri halus yang menusuk ke dadaku. Percakapannya tidak kasar, tetapi cukup untuk membuat hati terasa. Aku cuba tersenyum, seolah-olah tidak terkesan dengan kata-kata yang diucapkan.

“Kau macam mana? Dah selesa bekerja di bandar?”

“Oh sangat selesa. Kalau aku tidak sambung pelajaran sehingga ke peringkat universiti, memang aku tak akan mencapai tahap seperti sekarang ini.”

Kata-katanya kedengaran seperti sindiran halus, seolah-olah diriku begitu rendah di matanya dan tidak memberikan apa-apa makna.

Aku terdiam. Dalam hati aku hanya mampu berdoa untuk menenangkan jiwa. ‘Ya Allah, kuatkan hati aku untuk menerima ujian ini.’

Perbualan kami semakin hambar. Saira hanya bercerita tentang dunia baharunya. Dia menyanjung tinggi rakan-rakan elit, bergaya dengan hidup moden dan menguruskan projek-projek besar.

Aku hanya mendengar dan mengangguk apabila mendengar kata-katanya yang menunjukkan keangkuhan. Dalam masa yang sama, aku merasakan sebahagian daripada harga diriku runtuh sedikit demi sedikit.

Akhirnya, aku bertanya perlahan, “Saira… kau okay ke? Kenapa aku rasa engkau berbeza daripada orang yang aku kenali?”

Saira terdiam. Matanya tidak memandang aku. “Dunia kita sudah berbeza, kan? Kau hidup dengan cara kampung kau, tapi aku hidup dalam dunia moden yang bergemerlapan.”

Ayat itu benar-benar menghentak dadaku. Aku merasakan seolah-olah persahabatan kami dulu hanya tinggal sejarah. Namun begitu, aku tetap bersuara walaupun suaraku agak perlahan.

“Aku tidak kisah dunia kita berbeza. Tapi aku rindu sahabat aku, Saira yang dulu.”

Saira menarik nafas. “Kadang-kadang
orang tak perlu kembali ke masa lalu.”

Melalui cara dia melihat keadaan diriku begitu dingin. Aku bukannya marah ataupun membenci, tetapi aku begitu berkecil hati. Aku merasakan bahawa dia benar-benar berubah. Hatinya tidak lagi sama seperti sebelumnya.

Petang itu, aku pulang dengan hati yang berat. Namun dalam sujud malam, aku memohon kepada Allah agar diberi ruang untuk menjadi orang yang tidak suka membandingkan diri.

Aku yakin bahawa persahabatan kami sedang diuji. Apa-apa pun ujian yang hadir adalah tanda cinta Allah kepada manusia bukan kebencian-Nya.

Daripada hubungan persahabatan yang pernah terjalin, aku belajar meyakini bahawa hidup manusia sentiasa diuji dengan pelbagai perkara. Yakinlah bahawa jika kita tabah dengan ujian dan perancangan Allah SWT, Allah akan memberikan nikmat dan rahmat-Nya yang tidak pernah disangka -sangka.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top